Pada tahun 2022 ini, Hari Jantung Sedunia diraikan dengan tema “Hargai Jantung Sayangi Kehidupan” (Use Heart For Every Heart). Di sambut pada setiap 29 September setiap tahun, hari jantung sedunia disambut bagi meningkatkan kesedaran dan kepentingan penjagaan kesihatan jantung dalam kalangan masyarakat.
Penyakit jantung adalah penyumbang terbesar kepada kematian di seluruh dunia. Di Malaysia, menurut statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di mana 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan berpunca daripada penyakit jantung.
Beban penyakit jantung telah merekodkan peningkatan dari 11.6 peratus pada tahun 2000 ke 17.0 peratus pada tahun 2020. Lebih membimbangkan, beban kos merawat pesakit jantung dijangka akan terus meningkat sekiranya tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut.
Bukti saintifik menunjukkan penyakit diabetes, hipertensi, berat badan yang berlebihan serta tahap kolesterol yang tinggi menyumbang kepada penyakit kardiovaskular. Di samping itu, pemakanan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, stres dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung.
Sebagai menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia, pihak Mantik Media juga turut ingin menyarankan kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil lapan langkah berikut dalam usaha menjaga kesihatan jantung iaitu:
- Melakukan aktiviti fizikal
- Makan secara sihat dan seimbang
- Mengekalkan berat badan yang ideal
- Tidak menghisap rokok, vape atau rokok elektronik
- Elakkan pengambilan alkohol
- Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
- Mematuhi rawatan yang ditetapkan
- Mengenal pasti tanda-tanda awal sakit jantung
KKM juga sedang melaksanakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang bermula pada Julai sehingga Disember 2022 sebagai langkah untuk menggalakkan masyarakat untuk menjalani saringan kesihatan.
Rakyat Malaysia diseru untuk merebut peluang untuk menjalani saringan kesihatan dengan memeriksa status BMI, tekanan darah, paras gula dan kolesterol dalam darah di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran.
Akhir kata, marilah kita berusaha menjalani gaya hidup yang sihat bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh, seterusnya menjadi inspirasi serta motivasi kepada keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling.